my secret view

 photo 627201q5jaigt1eg.gif

Poligami~



PENDAHULUAN



Poligami boleh ditakrifkan sebagai perkahwinan yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan samada lelaki ataupun perempuan untuk satu-satu ketika. Poligami ini pula dibahagikan kepada dua iaitu poliandri dan poligini. Poliandri ialah keadaan seseorang wanita mempunyai lebih daripada seorang lelaki manakala poligini ialah keadaan seorang lelaki mempunyai lebih daripada seorang wanita. Kedua-dua perkahwinan ini masih diamalkan dalam beberapa masyarakat di dunia.
            Penulisan dan kajian tentang poligami bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia perundangan Islam. Penulisan dan kajian yang dilakukan kebanyakannya berkisar dari sudut perbahasan hukum. Sejarah poligami sebelum dan selepas Islam, penentangan Barat terhadap poligami, pembaharuan hukum berpoligami melalui penguatkuasaan Undang-undang Keluarga Islam dan juga amalan poligami dalam sesuatu masyarakat.
            Dalam beberapa penulisan tentang hukum berkaitan poligami, mereka secara keseluruhannya bersetuju bahawa poligami diharuskan oleh al-Quran. Bagaimanapun pada lewat kurun ke-19, seorang reformer yang juga Mufti Besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Abduh telah berhujah dalam bukunya "Tafsir al-Manar" bahawa poligami adalah sangat praktikal dan berguna bagi masyarakat Islam yang awal tetapi tidak kepada generasi sekarang kerana penyalahgunaan dan penindasan terhadap wanita telah banyak berlaku. Buah fikirannya telah disokong oleh banyak ulama dan cendekiawan dalam penulisan mereka termasuklah Rashid Reda Amin, Huda Sharawi, al-Ghazali, Madani, Schact, Coulson, Anderson, dan Esposito. Seterusnya muncul pula, Sister In Islam yang ditubuhkan pada tahun 1990 yang menyatakan wanita Islam ini tidak mendapat keadilan dari segi hukum Islam.
            Sebaliknya pemikiran tersebut telah ditentang dan dibantah oleh sebilangan kecil yang menyatakan bahawa poligmi telah dibenarkan oleh wahyu. Antaranya ialah Syaltut, Abu Zahrah, Bintu Syati', Zainab al-Ghazali, al-Siba'i dan Maududi. Mereka mencabar pihak yang menyokong Syeikh Muhammad Abduh dan berhujah bahawa sesiapa yang cuba untuk mentafsir semula al-Quran dianggap bertentangan dengan Islam. Ronald dalam kajiannya berkaitan dengan poligami telah mengenal pasti pandangan Syeikh Muhammad Abduh sebagai 'Pengenalan Pemikiran Barat Muhmmad Abduh' telah mendapat sokongan daripada golongan feminis Islam seperti Azizah Al-Hibry, Baidawi, Taha dan Raf.


         Poligami mrupakan salah satu isu yang tidak pernah putus diperdebatkan oleh masyarakat Islam, sama ada dengan tujuan untuk menjelaskan syarak berkaitan dengan sistem kekeluargaan Islam atau di satu sudut lain. Namun isu poligami ini dijadikan modal utama oleh para pejuang feminisme dan kaum liberialis untuk menyerang Islam kerana poligami seringkali dianggap sebagai hukum yang merendahkan dan menghina wanita. Melihat daripada perdebatan pro-kontra ini, penulis menulis beberapa isu poligami yang ingin dikupaskan seperti untuk meninjau isu poligami dari sudut sejarahnya. Selain itu, melihat pandangan-pandangan tokoh-tokoh liberal dalam Islam itu sendiri mengenai poligami, dan seterusnya melihat poligami dari tinjauan syariah Islam, dan menolak pandangan pendapat-pendapat yang menolak poligami.


SEJARAH POLIGAMI  


Berkahwin secara poligami ini sebenarnya sudah diamalkan secara meluas dalam banyak kelompok bangsa semenjak sebelum kedatangan Islam lagi. Di antara bangsa-bangsa yang mengamalkan poligami ialah bangsa Ibrani, Arab Jahiliyyah dan Cisilia yang kemudianya melahirkan sebahagian besar penduduk yang menghuni negara-negara seperti Rusia, Poland dan Yugoslavia. Oleh demikian, adalah kurang tepat jika dikatakan bahawa Islamlah yang mula-mula membawa sistem poligami. Cuma poligami yang dianjurkan Islam ini mempunyai had dan syarat-syarat yang tertentu. Ini kerana matlamat poligami dalam Islam adalah untuk memelihara martabat wanita bukannya menzalimi mereka. Selain daripada itu sistem poligami juga sehingga ke hari ini masih tetap tersebar dikalangan beberapa bangsa yang bukan Islam. Umpamanya orang asli Afrika, India, China dan Jepun. Sebenarnya agama Kristian juga tidak melarang poligami. Ini kerana di dalam kitab Injil tidak terdapat satu ayat pun yang dengan tegas melarang poligami. (Zaini Nasohah, 2000 : 2)
Namun penganut Kristian dari kalangan Eropah dahulu mangamalkan monogami adalah disebabkan sebahagian besar bangsa Eropah adalah penyembah berhala yang kemudiannya didatangi oleh agama Kristian. Pada peringkat awal dahulu mereka terdiri daripada orang Yunani dan Romamwi yang memang telah berpegang pada kebiasaan larangan terhadap poligami. Maka walaupun mereka telah menganut agama Kristian, namun kebiasaan dan adat nenek moyang mereka masih dipertahankan. (Zaini Nasohah, 2000 : 2)
            Sepanjang lebih 1300 tahun iaitu sehingga ke abad ke-18 M atau 13 H, para ulama tidak pernah berbeza pendapat dalam membincangkan tentang hukum poligami (ta’addud al-Zawjat). Seluruh ulama pada ketika itu sepakat tentang kemubahan (kebolehan berpoligami berdasarkan nas-nas dan dalil-dalil yang qat’i.
“ Menurut para fuqaha” pernikahan dengan lebih dari satu isteri bagi seorang lelaki adalah ketentuan syariat yang sudah tetap dan sunnah. Tidak pernah para fuqaha’ memperdebatkan masalah ini, meskipun mereka berbeza pendapat di dalam kebanyakan bab dan masalah fiqh. Namun isu poligami tidak ada ruang ijtihad untuk diperdebatkan kerana dalilnya bersumberkan Rasulullah s.a.w sendiri.


POLIGAMI MENURUT SISTERS IN ISLAM


Terdapat ulama hukum Islam seperti mufti-mufti yang menyatakan Sisters In Islam ini melanggar hukum Islam. Namun mereka menunding balik dengan ayat-ayat al-Quran dan sunnah Nabi yang menegakkan monogami sebagai norma. ( John L.Esposito, : 80)
Di Malaysia, sejak Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dikuatkuasakan pada tahun 1982, iaitu dengan mengharamkan poligami di kalangan orang bukan Islam, maka isu poligami tersebut semakin dikaitkan dengan Islam.
            Pada lewat 1970an dan awal 1980an, beberapa percubaan diambil untuk mengawal poligami di kalangan orang Islam. Namun, usaha ini tidak berapa berkesan. Paling menyedihkan adalah anggapan bahawa apa juga langkah yang diambil untuk membendung poligami dianggap tidak Islam kerana salah faham bahawa poligami adalah hak mutlak lelaki yang dijamin oleh Islam.  (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 1)
            Sisters In Islam (SIS) ingin menyatakan bahawa Islam tidak mencipta atau menggalakkan poligami. Poligami tanpa had telah diamalkan sejak sebelum turunnya al-Quran. Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan poligami jelas menghadkan amalan itu, bukan memberi kebebasan sepenuhnya.
            Sejak kurun ke 19, beberapa cendiakawan Islam termasuk Sheikh Muhammad Abduh, Mufti Besar Mesir sehinggalah kematiannya pada tahun 1905, telah menyatakan bahawa poligami diterima dengan berat hati oleh Islam kerana keadaan sedia ada pada masa ayat berkaitan diturunkan. Begitu juga dengan perhambaan telah diterima dengan berat hati oleh Islam dengan mengadakan prinsip yang boleh dijadikan panduan untuk menghapuskannya. Penekanan diberi kepada penjagaan hamba dan pembebasan hamba sebagai sifat yang terpuji. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 1)
            Prinsip di dalam al-Quran mengenai poligami yang boleh dijadikan panduan boleh dilihat pertama sekali dengan menghadkan bilangan maksimum isteri kepada empat, selepas itu menekankan keadilan dan kesaksamaan terhadap semua isteri, dan akhir sekali dengan menyatakan bahawa keadilan dan kesaksamaan tersebut tidak mungkin dicapai.
            Mereka yang menyokong poligami menyatakan bahawa salah satu tujuan poligami adalah untuk mengurangkan masalah sosial seperti hubungan sulit, pelacuran dan lahirnya anak diluar nikah. Walau bagaimanapun, kebenaran berpoligami sebenarnya tidak menamatkan masalah sosial di kalangan remaja yang dibesarkan dalam keluarga poligami yang bahagia dan terabai. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 1)
            Apa yang menyedihkan adalah apabila orang yang menyokong poligami seolah-olah tidak menghiraukan mesej al-Quran tentang poligami di dalam Surah an-Nisa 4:3, “Jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka berkahwinlah dengan seorang sahaja”. Al-Quran adalah satu-satunya kitab suci yang mengandungi ayat “kahwinlah seorang sahaja”. Satu lagi ayat yang terdapat dalam Surah an-Nisa’ 4:129 yang menyatakan “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”. Sekiranya hak wanita Islam dijaga dan diperkembangkan mengikut lunas-lunas al-Quran maka keadilan yang terkandung di dalamnya sudah pasti diberi perhatian. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 1)
            Kebanyakan undang-undang Syariah yang terdapat pada masa kini adalah berdasarkan kepada prinsip yang terdapat di dalam ayat al-Quran. Terdapat dua ayat al-Quran yang membincangkan isu poligami, dan kedua-dua ayat ini terdapat dalam Surah an-Nisa’. 

Surah an-Nisa’ 4:3 (terjemahan oleh Abdullah Yusuf Ali) menyatakan:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
 
Surah an-Nisa’ 4:129 seterusnya menambah sekatan ini:

“Dan kamu tidak akan dapat, berlaku adil antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).”
            Orang Islam yang berkata bahawa poligami adalah satu “hak” hanya berdasarkan pendapat mereka pada ayat “maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan dua, tiga atau empat..”. Walaubagaimanapun, terdapat tiga ciri yang amat penting yang sering tidak diendahkan oleh mereka yang menganggap poligami sebagai satu “hak”. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 2)

            Kebanyakan mereka tidak memberi perhatian kepada bahagian awal ayat di dalam Surah an-Nisa’ 4:3 yang menyatakan “Jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua,tiga atau empat..”. adalah jelas di sini bahawa poligami bukanlah satu hak, tetapi adalah satu-satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap anak-anak yatim. Perkataan dan prinsip ayat mengenai poligami yang diturunkan setelah tragedi Perang Uhud menitikberatkan kebajikan dan perlindungan wanita dan kanak-kanak setelah kematian puluhan lelaki Islam dalam masyarakat Islam yang masih baru dibentuk di Madinah. Dalam situasi tersebut, Allah s.w.t terus membenarkan poligami tanpa had seperti yang diamalkan pada masa itu, tetapi sebaliknya Allah s.w.t menghadkan amalan tersebut kepada bilangan maksimum empat orang isteri sahaja. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 3)

            Mengikut amalan sekarang amat jarang sekali poligami melibatkan persoalan isu penjagaan anak-anak yatim. Malah ramai yang langsung tidak tahu bahawa ayat tersebut merujuk kepada anak-anak yatim. Selanjutnya ayat ini menyatakan “Jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa’ 4:3). Sekali lagi amat jelas di sini bahawa al-Quran tidak menggalakkan poligami sebagai satu hak tanpa syarat, tetapi ia adalah untuk memastikan nasib balu dan anak yatim terbela. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 3)

            Ini diperkuatkan lagi oleh ayat Surah an-Nisa’ 4: 129 yang menyatakan

 “Dan kamu tidak akan dapat, berlaku adil antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya)”. 

 Apabila al-Quran menegaskan dengan jelas mengenai keadilan terhadap wanita dan layanan yang adil terhadap para isteri, ia juga mengakui betapa mustahilnya memenuhi syarat ini. Dengan menekankan keperluan bagi layanan yang adil dan saksama unutk kesemua isteri, ayat 4:3 tidak boleh dilihat sebagai menggalakkan poligami. Sebaliknya ayat ini menggalakkan monogami sebagai perkahwinan yang unggul dan terbaik dalam Islam. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 3)

            Beberapa tokoh reformasi abad ke 19 seperti Sheikh Muhammad Abduh, Mufti Besar Mesir pada akhir abad tersebut dan Sayyid Ahmad Khan serta Mumtaz Ali dari benua kecil India berpendapat bahawa institusi poligami hanya dibenarkan pada zaman dahulu, dan sepatutnya pada zaman ini perlu memberi laluan kepada monogami yang disarankan sebagai yang terbaik oleh al-Quran. Dalam ulasan asalnya mengenai ayat tersebut, Abdullah Yusuf Ali menyatakan bahawa menurut kefahaman beliau, ayat berkenaan menyarankan monogami memandangkan keadilan mustahil dicapai dalam poligami. (Zaitun Mohamed Kassim, 2003: 4)


Menurut mereka, orang yang menganggap poligami itu sebagai amalan sunnah Rasulullah s.a.w ialah mereka yang gagal memahami konsep poligami yang diamal oleh Rasulullah sepenuhnya. Nabi Muhammad s.a.w mengamalkan hubungan monogami bersama Siti Khadijah binti Khuwailid, yang berusia 15 tahun lebih tua daripada baginda, selama 28 tahun sehingga wafatnya Khadijah. Dalam jangka masa 28 tahun ini, 17 adalah sebelum baginda menjadi Rasul dan 11 tahun selepas menjadi Rasul. Selama 28 tahun itu, baginda tidak pernah mengahwini wanita lain. Baginda berkahwin semula dua tahun selepas kematian Siti Khadijah, iaitu selepas perkahwinan tiga daripada empat orang anak perempuan baginda. Rasulullah amat merasai kehilangan Siti Khadijah kerana baginda bukan sahaja kehilangan seorang isteri tetapi juga rakan kongsi dan seorang sahabat dalam perjuangan baginda. (Zaitun Mohammed Kassim, 2008: 4)

Semasa Rasulullah s.a.w mengamalkan poligami yang merupakan adat orang Arab pada masa itu, baginda telah berusia 54 tahun. Baginda berkahwin sebanyak sebelas kali dan kebanyakan perkahwinan baginda adalah dengan wanita yang berusia (balu, janda yang mempunyai anak) atas sebab-sebab politik dan puak. Baginda hanya mengahwini seorang dara iaitu Aisyah r.a kerana di desak oleh bapa Baginda iaitu Abu Bakar. Rasulullah mengahwini Sembilan orang selepas Aisyah dalam jangka masa lima tahun dan tidak pernah menceraikan wanita yang dikahwini baginda. Hanya seorang isteri yang memberi zuriat kepada Rasulullah s.a.w iaitu Siti Khadijah r.a, empat anak perempuan dan seorang anak lelaki. Anak baginda meninggal dunia ketika masih kanak-kanak. (Zaitun Mohammed Kassim, 2008: 4)

Apabila melihat cara dan sebab baginda berkahwin sebelas orang wanita, ia menunjukkan bahawa baginda tidak berkahwin untuk mendapatkan keturunan, atau berkahwin dengan wanita muda untuk kepuasan nafsu. Malah baginda mengamalkan poligami dengan tujuan menyebarkan agama Islam kepada masyarakat pada masa itu.
Kebanyakan perkahwinan poligami di Malaysia mengikut SIS, pada masa ini tidak mempunyai persamaan dengan sunnah baginda. Dalah tidak adil dan tidak patut bagi mereka yang ingin berpoligami membuat perbandingan mengenai tujuan mereka berpoligami dengan Rasulullah s.a.w. Apa yang lebih menarik adalah walaupun baginda sendiri mengamalkan poligami, baginda telah menghalang menantu baginda Saidina Ali Ibn Abi Talib yang telah berkahwin dengan anak baginda Fatimah az-Zahra. (Zaitun Mohammed Kassim, 2008: 5)

Ramai orang lupa, mengenai hadis sahih (yang diriwayatkan di dalam sunan Ibn Majah), yang melaporkan bahawa apabila Rasulullah s.a.w ditanya sama ada baginda akan membenarkan Saidina Ali berkahwin wanita lain, baginda menyatakan keengganan baginda : “kecuali dan sehingga Ali Ibn Abi Talib menceraikan anakandaku, kerana sudah tentu dia (Fatimah), adalah sebahagian dariku, dan apa-apa yang merunsingkan dan menyusahkan dirinya akan merunsingkan dan menyusahkan diriku, dan apa jua musibah yang menimpa dirinya akan menimpa diriku juga.” (Zaitun Mohammed Kassim, 2008: 5)
Mereka berpandangan lagi, bahawa poligami ini dibenarkan oleh kebanyakkan negara Islam tidaklah banyak. Hanya sebilangan kecil sahaja yang membenarkan poligami termasuklah Malaysia iaitu mengawal poligami melalui undang-undang. Jika dilihat Tunisia adalah sebuah negara yang tidak membenarkan poligami di bawah undang-undangnya. Undang-undang yang membenarkan atau juga menyekat poligami adalah berdasarkan tafsiran bahawa jika lelaki boleh berlaku adil terhadap semua isteri, maka dia boleh berkahwin sehingga  empat orang isteri. (Zaitun Mohammed Kassim, 2008: 5)
Walaubagaimanapun, al-Quran seterusnya menegaskan “dan kamu tidak akan dapat berlaku adil diantara terhadap semua isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).”


dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya
(surah an-Nisa’ : 129)


Apa yang amat mengecewakan adalah majoriti pakar dan penggubal undang-undang Islam tidak memberi kepentingan yang sewajarnya kepada ayat berkenaan walaupun maksudnya jelas. (Zaitun Mohammed Kassim, 2008: 6)


Selain itu, mereka tidak bersetuju jika seorang lelaki ini dibenarkan berpoligami atas alasan takut berzina. Bagi pendangan mereka, pendapat sedmikian seolah-olah menghina al-Quran. Ayat al-Quran tidak menyatakan bahawa takut melakukan berzina boleh dijadikan sebagai satu alasan untuk berpoligami. Begitu juga tidak ada undang-undang di Malaysia yang mengatakan bahawa nafsu boleh dijadikan alasan berpoligami. (Zaitun Mohammed Kassim, 2008: 15)

 Kemudian SIS juga menolak alasan tidak mempunyai anak di perkahwinan yang pertama, dan berhasrat berpoligami. Bagi SIS, walau apa alasannya, ketiadaan anak bukan menjadi penyebab saranan al-Quran bagi mneyokong poligami. Ini adalah hak Allah s.w.t, untuk mengurniakan anak atau tidak kepada sesiapa yang dikehendakinya. 

PANDANGAN LIBERAL MENGENAI POLIGAMI

Di dalam situasi serangan pemikiran terhadap syariah Islam oleh para kafir penjajah, maka muncullah beberapa modernis and puak liberalis dari kalangan orang Islam sendiri yang menolak poligami. Antaranya ialah Muhammad Abduh (1849-1905), beliau juga perpegang iaitu asas pernikahan di dalam Islam adalah monogami dan bukan poligami. Poligami telah diharamkan kerana ianya akan menimbulkan dharar (bahaya) seperti konflik di antara isteri dan anggota keluarga. Oleh itu, keadilan merupakan nilai yang penting. Atas kepentingan faktor keadilan inilah, Abduh(1849-1905),melarang amalan poligami apabila beliau menjawat jawatan sebagai mufti Mesir. Oleh itu ia hanya dibolehkan dalam keadaan tertentu dan darurat sahaja seperti si isteri telah menjadi mandul. Bagi Abduh (1849-1905) juga, poligami tanpa sebab adalah satu bentuk untuk merendahkan maruah wanita. (Amin Utsman, 1944: 346)

 Muhammad Abduh(1849-1905), juga merupakan seorang pejuang awal reformasi undang-undang dan pendidikan untuk memperbaiki kedudukan wanita Islam. Oleh itu, beliau mengkritik amalan poligami dan menyatakan kesan negatifnya kepada institusi keluarga Islam. Menurut beliau poligami dibenarkan hanya sebagai konsesi kepada keadaan sosial yang sedia ada di tanah Arab pada zaman Rasulullah. Abduh(1849-1905), memberikan tafsiran moden al-Quran yang merumuskan bahawa perkahwinan yang ideal menurut al-Quran sebenarnya adalah monogami kerana al-Quran membenarkan perkahwinan lebih dari seorang isteri dengan syarat suami mesti berlaku adil dan saksama, yang mana kedua-dua syarat itu hampir mustahil untuk dilaksanakan. Tafsiran al-Quran Muhammad Abduh (1849-1905), diterima pakai oleh ramai pendukung reformasi Islam dan menjadi asas bagi kebanyakan reformasi undang-undang keluarga Islam yang menyekat poligami. (Rashid Ridha dan Muhammad Abduh, 1328: 347)
         
Selain itu, pandangan Muhammad Abduh(1849-1905), amat berbeza dengan pandangan Mufassir yang menyatakan penyebutan poligami dalam ayat 3 surah an-Nisa’ adalah dalam konteks anak yatim dan larangan memakan harta mereka meskipun dengan jalan perkahwinan. Jika bimbang akan memakan harta anak yatim yang dikahwini itu, maka janganlah mengahwini mereka, tetapi hendaklah mengahwini perempuan lain, satu, dua, tiga atau empat. Walaupun terdapat ungkapan seperti itu, bagi abduh beliau berpendapat jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil maka hendaklah kamu kahwini satu sahaja. (Rashid Ridha dan Muhammad Abduh, 1328: 348)

POLIGAMI MENURUT ISLAM 


Poligami dari sudut bahasa adalah menghimpunkan berbilang isteri dalam satu masa. Mengikut Kamus Dewan, poligami bererti amalan beristeri lebih daripada seorang pada masa yang sama. Dalam bahasa Arab, poligami disebut Ta’addad al-Zawjat (الزوجات تعدد ). Asal perkataan Ta’addad (تعدد) bererti bilangan. Manakala perkataan al-Zawjat (الزوجات) diambil daripada perkataan al-Zawjat (الزوجة)  yang bererti isteri. Dua perkataan tersebut apabila digabungkan membawa erti isteri yang banyak atau berbilang-bilang. (Zaini Nasohah, 2000 :1)


Maka poligami bolehlah dimaksudkan sebagai berkahwin lebih daripada seorang iaitu lawan kepada perkataan monogami yang membawa erti berkahwin dengan seorang wanita sahaja. Ia juga berlawanan dengan perkataan poliandri iaitu amalan bersuami lebih dari seorang dalam satu-satu masa. (Zaini Nasohah, 2000 : 2)


HUKUM POLIGAMI 

Dasar hukum yang membolehkan berpoligami telah dijelaskan melalui ayat al-Quran :



“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.
(An-Nisa’ : 3)


Berpandukan kepada ayat di atas, Islam tidak mewajibkan berpoligami, tetapi menjadikan sebagai harus atau hukumya mubah. Para Imam mazhab empat, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad, telah bersepakat bahawa hukum poligami adalah mubah. (Syeikh Abdurrahman Al-Jaziry,1994 : 265)


Ayat di atas telah diwahyukan pada akhir tahun ke lapan Hijrah untuk menghapuskan peradaban lama yang masyhur di kalangan orang Jahiliah pada masa itu. Pada masa tersebut, apabila terdapat perempuan yatim, wali yang menjaga perempuan yatim tersebut mengahwinkan mereka tanpa memberikan hak-hak kepada perempuan yatim tersebut. (Malik Ram Baveja, 1988 : 44). Ini adalah berkaitan dengan kisah pertanyaan Urwah bin Zubir kepada Aishah :


Maka ‘Aisyah menjawab,”Wahai anak saudara perempuanku, yatim di sini maksudnya wanita yang di bawah asuhan walinya di mana hartanya bercampur dengan harta walinya, dan harta serta kecantikan wanita yatim itu menyebabkan pengasuh anak yatim itu senang kepadanya lalu ingin menjadikan wanita yatim itu sebagai isterinya.  Tetapi pengasuh itu tidak mahu memberikan mahar (maskahwin) kepadanya dengan adil, iaitu memberikan mahar yang sama dengan yang diberikan kepada wanita-wanita lain.  Oleh sebab itu, pengasuh anak yatim seperti ini dilarang mengahwini anak-anak yatim itu kecuali jika mereka mahu berlaku adil kepada mereka dan memberikan mahar kepada mereka lebih tinggi dari kebiasaannya.  Dan kalau tidak dapat berbuat demikian, maka mereka diperintahkan mengahwini wanita-wanita lain yang mereka disenangi.” (Al-Bukhari, Abu Daud, an-Nasa`i, dan at-Tirmidzi) 


Walaubagaimanapun, kebolehan poligami di dalam ayat di atas bukanlah bermaksud bahawa poligami hanya dibolehkan di dalam konteks pengasuhan anak yatim. (Seperti pandangan kaum liberal yang menyatakan syarat poligami ialah mengahwini janda-janda yang telah kematian suami atau anak-anak yatim). (Zaini Nasohah, 2000 : 6)
                   Manakala dalil dari sunah yang lain dalam pensyariatan poligami tentang pengharusannya ialah tentang peristiwa seorang sahabat bernama Ghailan al-Damsyiqi yang mempunyai sepuluh orang isteri ketika beliau memeluk Islam. Maka Rasulullah s.a.w telah mengarahnya agar memilih empat orang sahaja dari isteri-isterinya dan menceraikan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w :
 
أَخْبَرَنَا أَبُو الْحُسَيْنِ بْنُ بِشْرَانَ ، أنا أَبُو جَعْفَرٍ مُحَمَّدُ بْنُ عَمْرٍو الرَّزَّازُ ، ثنا أَحْمَدُ بْنُ مُلاعِبٍ ، ثنا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ بُكَيْرٍ ، ثنا سَعِيدٌ ، عَنْ مَعْمَرٍ ، عَنِ الزُّهْرِيِّ ، عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ ، عَنْ أَبِيهِ ، أَنَّهُ حَدَّثَهُ أَنَّ رَجُلا كَانَ يُقَالُ لَهُ : غَيْلانُ بْنُ سَلَمَةَ الثَّقَفِيُّ " كَانَ تَحْتَهُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ عَشْرُ نِسْوَةٍ ، فَأَسْلَمَ وَأَسْلَمْنَ مَعَهُ فَأَمَرَهُ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَتَخَيَّرَ مِنْهُنَّ أَرْبَعًا
(al-Baihaqi)


 
Bila Ghailan Ats-Tsaqahi memeluk Islam, dia mempunyai sebanyak sepuluh orang isteri. Maka Nabi S.A.W berkata kepadanya : "Pilihah dari isteri-isterimu empat orang sahaja, dan ceraikanlah yang selebihnya itu" (Riwayat Imam Syafi’i, Imam Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Syaibah, Daraquthni dan al-Baihaqi )
                   Seterusnya  dalil dari Ijmak, iaitu baginda Rasulullah s.a.w sendiri telah mengamalkan poligami dan kemudiannya diikuti oleh para sahabat dan tabi’in. Mereka memandang amalan poligami itu sebagai suatu yang baik dan tidak pernah ditentangi oleh seorang Islam yang taat. Sementara itu, Imam-imam Mujtahid di seluruh negara Islam turut memperakui pensyariatannya. Tidak ada yang pernah membantah syariat tersebut sehingga ke hari ini. (Zaini Nasohah, 2000 : 8).
            Kesepakatan ( ijma’ ) kaum muslimin tentang keharusan poligami sama ada melalui ucapan atau perbuatan mereka sejak zaman Rasulullah s.a.w merupakan satu dalil bahawa poligami dibolehkan dalam Islam. Para sahabat utama Rasulullah s.a.w melakukan poligami seperti Umar bin al-Khatab, Ali bin Abi Thalib, Muawiyyah bin Abi Sufyan dan Muaz bin Jabal. Poligami juga dilakukan oleh ahli fiqh tabi’in ( generasi pascasahabat ) dan lain-lain-lain yang berkahwain lebih dari seorang isteri. kesimpulannya bahawa generasi salaf (terdahulu) dan khalaf (kini) dari umat Islam sepakat melalui ucapan dan perbuatan mereka bahawa poligami itu halal. (Ariij abdurrahman As-Sannan, 2002 : 20)


MENOLAK PANDANGAN 

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan pandangan-pandangan tersebut mereka ini sangat menentang poligami yang dipraktikkan dalam Islam kerana menganggap poligami sebagai tulang belakang kerosakan masyarakat di Mesir. Namun persoalannya, mereka tidak pula menolak poligami yang dipraktik semasa awal Islam. Maka jelas di sini bahawa penentangan terhadap poligami itu hakikatnya bukanlah kerana ia adalah perbuatan dosa dan dilarang di sisi syariat Islam. Ia tidak lain adalah kerana terikut-ikut dengan pandangan masyarakat barat yang menganut agama Kristian yang memandang bahawa poligami itu adalah perkara yang sangat dibenci mereka. Namun di dalam agama Kristian itu sendiri juga tidak pernah mengharamkan poligami kerana tidak ada ayat dalam kitab Injil yang melarang poligami. Amalan monogami ini adalah semata-mata tradisi keluarga yang diwarisi dari Bangsa Yunani dan Rom. Serangan terhadap poligami jika dikaji secara mendalam adalah merupakan sebahagian dari Perang Pemikiran diantara kaum Imperialis kufur barat yang beragama Kristian dan berideologi sekular-kapitalis, dengan kaum muslimin meyakini Islam sebagai Ideologi.(Mustafa Sibai, 1986 : 191)
Jika dilihat kepada hadis nabi yang dijadikan hujah oleh Sister In Islam, iaitu tindakan Nabi Muhammad saw melarang Sayidina Ali berpoligami tidak bermakna baginda melarang poligami.  Memang benar Rasulullah s.a.w melarang Sayidina Ali menduakan puterinya. Baginda amat marah mendengar ura-ura Sayidina Ali hendak berpoligami lalu masuk ke masjid dan menaiki mimbar sambil berseru: “Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Talib. Ketahuilah aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan kecuali Ali bin Abi Talib menceraikan puteriku terleboih dahulu. Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku.”

Namun hadis ini  difahami dan diperjelaskan secara berbeza oleh para ulama. Berdasarkan Imam Nawawi, fokus utama hadis ini bukanlah berkaitan poligami secara umum tetapi ia berkaitan dengan hasrat Sayidina Ali memadukan isterinya Siti Fatimah binti Muhammad saw dengan puteri Abu Jahal.   Ini diperjelaskan lagi oleh sabdanya sebagai kesinambungan daripada hadis yang pertama: ”Dan sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak  pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah jangan sekali-kali bersatu puteri utusan Allah dengan puteri musuh Allah.”
                   Berdasarkan tinjauan sejarah, kita dapat mengungkap motif hakiki di sebalik pembatasan atau larangan poligami oleh para pemimpin sekular di negara-negara kaum Muslimin. Motif ini dibongkar dengan jelas oleh Addurrahim Faris Abu Lu’bah di dalam kitabnya Syawa’ib al-Tafsir al-Rabi’ ‘Asyara al-Hajiri hal. 360. Menurut beliau tujuan dari seluruh usaha menghalang atau membataskan poligami adalah semata-mata untuk mengubahsuai institusi keluarga masyarakat Islam agar mengikut model institusi keluarga masyarakat barat di Eropah, khususnya selepas mereka mengalami revolusi pemikiran.
                   Mereka menyebarkan propaganda bahawa pembatasan poligami adalah untuk melindungi wanita. Namun mesti dilihat bahawa poligami dalam Islam bukanlah untuk menjatuhkan wanita malah untuk memelihara wanita. Jika dilihat masyarakat barat yang sudah berumahtangga melakukan hubungan seksual dengan pasangan lain secara rahsia dan melahirkan anak luar nikah. Malah berlakunya seks bebas, homoseksual, lesbian dan lain-lain yang tidak ada dalam ajaran Islam. Oleh itu, poligami dalam Islam adakah dilihat sebagai penindasan terhadap wanita?. Jika umat Islam sebelum perang Dunia ke-II dijajah secara langsung oleh Barat dalam melalui perang fizikal, maka kini pasca Perang Dunia ke-II umat Islam dijajah oleh para pemimpinya sendiri melalui pemikiran. (Shabir Tha’imah, 1984 :50)
Sistem poligami Islam dibentuk dengan akhlak dan kemanusiaan. Dari sudut akhlak, tidak dibenarkan seseorang lelaki berhubung dengan seseorang wanita melainkan apabila dia menjadi isteri dengan syarat tidak melebihi 4 orang wanita. Dari sudut kemanusiaan, dapat mengurangkan masalah-masalah kemasyarakatandengan menempatkan wanita-wanita yang tidak bersuami untuk dipelihara dan dijaga.

Manakala sistem poligami barat yang berlaku dalam kehidupan tidak berlandaskan syariat dan perundangan serta tidak berlaku dengan nama berbilang isteri  tetapi dengan nama sahabat atau teman. Perkara sebegini menyebabkan poligami yang tiada akhirnya.  Setelah meneliti lembaran sejarah sejak dahulu sehingga kini dan melihat masyarakat di dunia pada masa kini satu kesimpulan telah dibuat bahawa poligami merupakan fitrah semula jadi manusia. Ia merupakan fenomena alam dan adat resam yang sama sekali tidak dapat dihapuskan walaupun ianya ditentang oleh kebanyakan wanita, tetapi ia tetap suatu hukum syariat yang telah dihalalkan oleh Islam. Penentangan kaum wanita adalah kerana mereka melihat kebanyakan kaum lelaki yang berpoligami tidak dapat memberi keadilan kepada isteri. Keadaan ini berlaku kerana perkahwinan yang dilakukan adalah bukan berdasarkan syariat dan mengikut sunah yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, tetapi mereka berpoligami adalah kerana berlandaskan hawa nafsu semata-mata.

             Sesungguhnya Islam adalah sebagai agama terakhir dan kesempurnaannya mengharuskan poligami bagi menyempurnakan segala perkara untuk kepentingan dan kebahagiaan masyarakat serta bertepatan dengan fitrah semula jadi manusia. Oleh kerana itu, Islam dinamakan agama fitrah kerana perundangannya meliputi setiap aspek kehidupan manusia dari sebesar-besar perkara sehinggalah kepada sekecil-kecilnya. Masyarakat seluruh dunia seharusnya bersyukur kepada Islam berkaitan poligami ini. Hal ini bermula daripada hakikat bahawa Islamlah yang mengawal, mengatur dan menyusun kembali sistem poligami sehingga peraturan yang disediakan oleh Islam berkaitan dengan poligami itu lengkap dan memberikan keadilan kepada setiap yang terlibat sama ada suami atau isteri-isteri. (Basri Ibrahim, 2008: 8)

        Poligami adalah sistem yang sesuai dengan fitrah manusia kerana ia dapat meringankan beban masyarakat, khususnya dalam melindungi wanita yang tidak bersuami dan menempatkannya di kalangan para isteri yang terpelihara dan terjaga kehormatannya. Selain itu, poligami juga melibatkan mahar, kelengkapan rumah dan nafkah. Kemudahan-kemudahan ini juga dapat memberi manfaat sosial iaitu terbinanya masyarakat yang memberi produktiviti keturunan yang bekerja kepada umat. (Basri Ibrahim, 2008: 8)

            Islam juga telah membuktikan bahawa ianya adalah agama sederhana di mana ia tidak menghalalkan seseorang lelaki mengikut hawa nafsunya sehingga berkahwin sampai berpuluh malah beratus orang. Ia juga tidak membataskan seseorang lelaki itu berkahwin tidak lebih dari seorang. Cara yang diambil oleh syariat Islam ialah empat. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran yang bermaksud:
 

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan lain) dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu maka berkahwinlah dengan seorang sahaja, atau pakailah hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk mencegah supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (Surah an-Nisa’ ayat 3)


RUJUKAN

Ariij Abdurrahman As-Sannan. Al-‘Adlu Baina az-Zawjat. 2002. Jordan : Darul Nafaes.
Amin Utsman. Muhammad Abduh. 1944. Kairo : Darul Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah.
Basri Ibrahim. Hidup Bahagia Dengan Poligami. 2008. Selangor :Pts Publications & Distributers Sdn. Bhd.
Harun Nasution. Pembaharuan dalam Islam: Sejarah Pemikiran dan Gerakan. 1975. Jakarta: Bulan Bintang
John L.Esposito. Ancaman Islam : Mitos dan Realiti?. 2004. Kuala Lumpur : PTS Publications & Distributors.
John L. Esposito. Saatnya Muslim Berbicara : Opini Umat Islam Tentang Islam, Barat, Kekerasan Ham, dan Isu-Isu Kontemporari Lainnya. 2007. Bandung : PT Mizan Pustaka.
Malik Ram Baveja. Woman In Islam. 1988. Delhi : Renaissance Publishing House.
Mansor Moaddel, Kamran Talattof. Modernist and Fundamentalist Debates in Islam. 1999. New York : Palgrave Macmillan.
Mustafa Sibai. Wanita Menurut Syariat Islam dan Peradaban Moden. 1986. Selangor : Polygraphic Sdn. Bhd.
Syabir Tha’imah. Akhtar al-Ghazw al-Fikri ‘Ala al-‘Alam al-Islami. 1984. Beirut: ‘Alam al-Kutub.
Syaikh Imad Zaki Al-Barudi. Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim Li An-Nisa’. 2004. Mesir : Al-Maktabah At-Tawfiqiyyah.
Syeikh Abdurrahman Al-Jaziry. Al-Fiqh ‘Ala Al-Madzahib Al-Arba’ah. 1994. Jakarta: C.V asy-Syifa
Syaikh Muhammad Abduh, Rashid Ridha 1328H. Tafsir al-Manar IV. Mesir : Darul al-Manar.
Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Sistem Kekeluargaan Dalam Islam. 2010. Selangor : Darul Syakir Enterprise.
Zaini Nasohah. Poligami : Hak Keistimewaan Menurut Syariat Islam. 2000. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors.
Zaiton Mohammed Kassim. Islam dan Poligami. 2008. Selangor : Sister In Islam
Zaleha Muhammat. Poligami Menurut Perspektif Islam. 2002. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Didtributors.
Www.Mykhilafah.Com. Tarikh lawati pada 12 Oktober 2012
www.sisterinislam.org.my. Tarikh lawati pada 22 Oktober 2012
 



 Wallahhuta'alaa'lam~
                                                                                                                         


 



No comments:

Post a Comment